Wednesday, 13 May 2015

Antara jihad dakwah dengan menjaga ibu di rumah.

Salam ustaz saya hendak tanya.
Antara jihad dakwah dengan menjaga ibu di rumah mana satu yang lebih utama??
Walaikumslam wr,
Memang kedua-dua itu penting tetapi menjaga ibu di rumah yang memerlukan, harus kita lebih utamakan.
Dikisahkan oleh Abi Abdurrahman Abdullah bin Massoud berkata: Aku bertanya kepada Nabi saw, “Amal baik manakah yang lebih disukai oleh Allah?” lalu Rasul menjawab, “Solat pada awal waktu”. Kemudian aku bertanya, “Setelah itu apa lagi?”, Rasul menjawab, “Bersikap baik pada orang tua”. Lalu aku bertanya lagi, “Setelah itu apa?”. Dia menjawab, “Jihad di jalan Allah”.
Wallahu A'lam
Ustaz Abdul Rahman Mohamed | Fiqh Consultancy & Services | Fiqhonlinestore.com

Hukum menceritakan hal ehwal intim rumahtangga


Assalamualaikum.
Soalan saya ialah apakah hukumnya seorang isteri mencerita hal ehwal suami isteri hingga cara mereka bersekedudukan dikatil. Rasa saya kalau kita sesama perempuan. Rasanya masih saya terima tetapi adanya kaum adam.
Waalaikumsalam wr,
Islam melarang suami atau isteri menceritakan hal ehwal dalam kamarnya kepada orang lain. Imam Nawawi rh telah meletakkan bab khas didalam Sharh Hadith Muslimnya yang bertajuk (بَاب تَحْرِيمِ إِفْشَاءِ سِرِّ الْمَرْأَةِ ) "Bab larangan mendedahkan rahsia isteri" dengan memetik hadith Saed al-Khudri berkata, berkata Rasulullah :-
إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا
"Seburuk-buruk manusia dipandangan Allah pada hari Kiamat ialah suami yang melakukan hubungan intim dengan isterinya kemudian menceritakan keintimannya kepada orang lain" [Hadith riwayat Muslim no: 1427].
Jelas Imam Nawawi radhiallahu 'anhu bahawa hadith ini melarang seseorang itu mendedahkan perhubungannya dengan isterinya kepada orang lain, keseronokan isterinya, dan secara jelas perkataan atau perkara-perkara yang dilakukan. Ulama' juga menjelaskan bahawa hukum itu juga diaplikasikan kepada si isteri juga.
Orang sebegini dinilai tiada maruah dan merupakan manusia yang berkelakuan buruk. Dah tak ada cerita lain ke nak cerita?
Wallahu A'lam
Ustaz Abdul Rahman Mohamed | Fiqh Consultancy & Services | Fiqhonlinestore.com

Mengqadhaa' sebelum berpuasa sunnat

Assalamualaikum Ustaz,
Seorang teman bertanyakan kepada saya sama ada dia boleh puasa sunat atau tidak jika dia belum qadak puasa Ramadan yang lalu? Saya pun tak pasti, boleh ustaz bantu?
Terima kasih.
Waalaikumsalam wr,
Berhutang puasa adalah suatu tuntutan yang utama untuk ditunaikan. Maka mereka yang ada berhutang puasa Ramadhan disebabkan udzur syar'ie, maka dituntut untuk mengqadhakkan puasanya terlebih dahulu.Mereka boleh memilih untuk mengqadhakkan puasanya pada hari-hari atau bulan-bulan yang dimuliakan seperti Isnin, Khamis, Puasa 6 Hari Syawwal, Hari Arafah, 10 Muharram, keseluruhan Rejab dan Sya'ban, Insya Allah puasa qadhak mereka akan terangkat dan mereka akan mendapatkan juga pahala berpuasa pada hari-hari tersebut.
Sebagai tambahan, bulan Rejab dan Sya'ban tiada hari yang dikhususkan untuk berpuasa sebaliknya keseluruhan bulan-bulan tersebut boleh dilakukan apa jua amalan yang soleh termasuk berpuasa pada mana-mana harinya.
Wallahu A'lam
Ustaz Abdul Rahman Mohamed | Fiqh Consultancy & Services | Fiqhonlinestore.com

Monday, 4 May 2015

Mencemuh isteri dengan panggilan tidak sepatutnya

Assalamualaikum ustaz..
Saya ada satu pertanyaan. Apa hukumnya jika seorang suami dalam keadaan marah mengatakan yang seorang sundal lebih mulia dari isterinya dan suami itu memanggil isterinya sundal, gila, bodoh untuk kesalahan yang remeh.

Waalaikumsalam wr,
itu adalah suatu tuduhan yang serius yang boleh membawa kepada perceraian ta'liq di Singapura. Sundal adalah pelacur dalam bahasa melayu.
Semasa pernikahan dahulu, hampir semua suami telah melafazkan Ta'liq antara lain berbunyi:
" atau saya menjatuhkan maruahnya........lalu mengadu ia ke mahkamah syariah dan didapati pengaduanya itu benar maka gugurlah talak satu ke atas isteri saya".
Dengan memanggil isterinya "Sundal" bererti dia telah menuduh isterinya berzina, itu pula jatuh pada bab Li'an. Apabila tsabit pertuduhan suami isteri akan berpisah buat selama-lamanya.
Wallahu A'lam
Ustaz Abdul Rahman Mohamed | Fiqh Consultancy & Services | Fiqhonlinestore.com

Friday, 1 May 2015

Kedudukan ibu tiri

Assalamualaikum Ustaz.
Apa khabar? Can I ask ustaz about kedudukan ibu tiri? Adakah sama seperti ibu kandung dan ibu mertua? Maksud saya if kita sudah tidak ada ibu kandung atau ibu mertua syurga anak tiri terletak di bawah syurga ibu tiri? Harap penjelasan daripada ustaz.
Terima kasih ya ustaz.

Wa'alaikum salam wr wb,
Ibu tiri tidaklah sama statusnya dari segi hukum dalam beberapa perkara di sisi Islam seperti perkahwinan, perwarisan dan tanggungan. Namun hak kewajiban menghormati mereka adalah sama seperti ibu kandung. Doa seorang ibu tiri terhadap anak-anak tiri juga adalah doa yang maqbul.
Wallahu A'lam
Ustaz Abdul Rahman Mohamed | Fiqh Consultancy & Services | Fiqhonlinestore.com

Family planning


       Ada seorang muslimah yang bertanyakan tentang hukum perancangan keluarga tetapi malu bertanya secara public, maka saya nukilkan jawapannya dibawah ini.

Pada asalnya tujuan perkahwinan yang digalakkan di dalam Islam ada bagi memperbanyakkan anak.
عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ المزني رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ وَإِنَّهَا لاَ تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: « لاَ ». ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: « تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ، فَإِنِّى مُكَاثِرٌ بِكُمُ الأُمَمَ »، وفي رواية: « إِنِّى مُكَاثِرٌ الأَنْبِيَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ » رواه أبو داود والنسائي والحاكم وغيرهم
Dari Ma’qil bin Yasar al-Muzani radhiallahu ‘anhu dia berkata: Seorang lelaki pernah datang (menemui) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: Sesungguhnya aku mendapatkan seorang perempuan yang memiliki kecantikan dan (berasal dari) keturunan yang terhormat, akan tetapi dia tidak bisa punya anak (mandul), apakah aku (boleh) menikahinya? Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Tidak (boleh)”, kemudian lelaki itu datang (dan bertanya lagi) untuk kedua kalinya, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam kembali melarangnya, kemudian lelaki itu datang (dan bertanya lagi) untuk ketiga kalinya, maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Nikahilah perempuan yang penyayang dan subur (banyak anak), karena sesungguhnya aku akan membanggakan (banyaknya jumlah kalian) dihadapan umat-umat lain – dalam riwayat lain: para Nabi ‘alaihimussalam[1] – (pada hari kiamat nanti)”[2].
Berkahwin tetapi tidak mahu mempunyai anak lebih baik tidak berkahwin. Anak-anak adalah penyeri rumah tangga dan adanya mereka menjadi sebab kita memperoleh rezeki bukan sebaliknya iaitu adanya anak menyebabkan kita tidak kecukupan, kekurangan dan kemiskinan. Ini telah ditegaskan oleh Allah swt Dzat Pemberi Rezeqi:
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.
- Surah Al-Isra' 31
Pada ayat ini Allah melarang kita membuang anak-anak kerana takutkan kemiskinan padahal adanya mereka menyembahkan kita diberi rezeki oleh Allah swt.Namun Islam juga menggalakkan agar kita merancang kejayaan keluarga kita, tidaklah bererti kita disuruh terus menerus beranak kemudian tidak diurus anak-anak itu dengan baik.
Tidak mahu memperbanyakkan anak kerana takutkan kemiskinan tidak boleh tetapi pada masa yang sama memperbanyakkan anak tetapi tidak mempunyai kemampuan mengurusnya dengan baik juga tidak dibolehkan. Seseorang yang tidak mempunyai kemampuan dari segi tanggungjawab tidak digalakkan mempunyai ramai anak. Benar kata-kata orang sekarang,
"Tahu Bikin Anak Tetapi Tidak Tahu Jaga Anak!"
Oleh itu, adalah Harus atau Mubah kita menghadkan jumlah anak mengikut KEMAMPUAN TANGGUNGJAWAB KITA, yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik sila miliki ramai anak, yang rasanya tidak ada kemampuan dari segi tanggungjawab melahir anak-anak yang diurus dengan baik, sebaiknya tidak memiliki ramai anak.
Secara asasnya, ada dua cara yang kita boleh pilih untuk mencegah kehamilan iaitu secara kekal atau tidak kekal. Kaedah kekal adalah melalui sterilisasi ataupun dalam bahasa mudah difahami adalah pemandulan. Melalui kaedah ini, untuk perempuan, tiub fallopio perlu diikat atau dipotong secara pembedahan. Manakala bagi lelaki pula dipanggil vasektomi iaitu vas defence lelaki yang menghubungkan kilang sperma dan hujung testis perlu dipotong dan diikat. Ini juga dilakukan secara pembedahan.
Kaedah secara tidak kekal pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu dengan menggunakan hormone dan tidak menggunakan hormon. Hormon yang dimaksudkan adalah seperti menggunakan pil perancang atau suntikan atau implant atau IUCD. Manakala kaedah yang tidak menggunakan hormon bermaksud menggunakan kaedah semulajadi dengan memastikan air mani yang mengandungi sperma tidak memasuki rahim pasangan. Kaedah semulajadi sebegini adalah yang terbaik, dimana pada zaman Rasululullah ada sahabat yang mengamalkan ‘anzal’ iaitu air mani dipancutkan di luar faraj isteri. Walaubagaimanapun kaedah ini kebanyakannya gagal lantaran tidak berjaya memastikan keseluruhan air mani tidak dipancutkan terus di dalam faraj.
Oleh hal yang demikian, pada zaman moden ini, kondom digunakan sebagai suatu inisiatif mengekalkan kaedah semulajadi tanpa hormon untuk merancang keluarga. Mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, hukum mencegah kehamilan secara kekal dengan memandulkan lelaki atau perempuan adalah haram. Walaubagaimanapun merancang keluarga dengan mencegah kehamilan melalui kaedah yang tidak kekal atau bersifat sementara, dengan menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagian keluarga adalah harus. Manakala bagi isu penggunaan kondom dalam Islam, hukumnya juga harus dan dibenarkan selagi ianya tidak memberikan kemudaratan kepada si pemakai dan tidak mengandungi najis. Penggunaan kondom juga hendaklah dengan mendapat persetujuan kedua-dua pihak suami dan isteri.
Wallahu A'lam
Ustaz Abdul Rahman Mohamed | Fiqh Consultancy & Services | Fiqhonlinestore.com

Beberapa situasi selepas kaum keluarga meninggal dunia

Saya hendak tanya sikit. Ada beberapa soalan. Ibu saya baru meninggal, apa yang patut saya buat dengan:
1. Duit CPF yang dibahagi sama rata kepada saya dan abang adik?
2. Semasa saya kemas almari arwah ibu, ada terjumpa sedikit duit dan beberapa barang kemas arwah.
3. Pakaian arwah ibu apa yang paling baik, apakah yg harus kita buat dengan pakaian-pakaian itu?

1) Duit peninggalan si mati termasuk duit CPR/EPF hendaklah dibahagi mengikut hukum faraid iaitu anak lelaki mendapat 2 bahagian, anak perempuan mendapat satu bahagian. Jika yang punya hak iaitu anak lelaki setuju, maka boleh dibahagi sama rata.
2) Semua duit dan harta si mati hendaklah dikumpulkan dan dibahagikan kepada ahli waris mengikut ketetapan hukum faraidh.
3) Pakaian si mati boleh dibahagikan kepada yang memerlukan.
Wallahu A'lam
Ustaz Abdul Rahman Mohamed | Fiqh Consultancy & Services | Fiqhonlinestore.com